Assalamualaikum,
Pertemuan empat mata di antara Presiden Barrack Obama dan Perdana Menteri Israel, Benyamin Netanyahu masih meninggalkan pelbagai persoalan. Namun yang pasti Netanyahu telah membuat pengumuman yang mungkin memperdalam 'perselisihan' di antara Amerika dan Israel, negara yang sering dipertahankan dan dilindungi oleh kuasa besar itu.
Pengumuman yang dibuat oleh Netanyahu adalah menyangkut tentang dasar Tel Aviv dalam projek pembinaan penempatan Yahudi di negara Palestin yang terjajah iaitu di Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur. Dalam suasana tegang berikutan keganasan polis Israel di persekitaran Masjid al-Aqsa dan pembinaan semula kuil Hurva yang telah roboh berhampiran Masjid al-Aqsa, pengumuman Netanyahu meruncingkan lagi keadaan.
Tanpa menghiraukan pandangan masyarakat antarabangsa bahkan mengenepikan 'nasihat' Amerika Syarikt, Netanyahu mengumumkan akan terus menambah penempatan Yahudi di Baitul maqdis timur. Tindakan ini dilihat sengaja untuk menggagalkan proses rundingan damai dengan pihak berkuasa Palestin yang seringkali gagal akibat dari kedegilan Tel Aviv untuk meneruskan pembangunan penempatan Yahudi di negara Palestin yang terjajah.
Netanyahu seterusnya mendakwa orang-orang Yahudi sudah mewarisi Baitul Maqdis semenjak 3,000 tahun yang lalu, menjustifikasikan pembinaan penempatan kekal untuk penduduk Yahudi di sana.
Di dalam menilai dakwaan Netanyahu kita akan ketepikan sentimen-sentimen yang dianggap menyebelahi mana-mana agama termasuklah agama Islam. Kita ambil pendekatan ini untuk mengelak dakwaan pihak lain bahawa umat Islam bias dan cenderung untuk membuiat tafsiran sendiri berdasarkan prinsip agama mereka. Dengan itu persoalan ini akan dilihat dari sudut yang boleh dinilai oleh sesiapa jua samada dia beragama Islam, kristian, Yahudi bahkan jika dia seorang yang tidak beragama sekalipun. Penilaian yang akan digunakan ialah neraca keadilan dan hakikat sejarah.
Dari sudut keadilan- yang boleh diukur dengan perundangan, jelas dakwaan Netanyahu tidak punya sebarang 'locus standi'. Ini adalah kerana baitul Maqdis timur dan Tebing Barat adalah wilayah yang diduduki (terjajah). Status wilayah ini sebagai negara Palestin yang terjajah adalah berdasarkan peruntukan Resolusi PBB 242 yang diterima dan diputuskan oleh Majlis Keselamatan PBB pada tahun 1967 sejurus selepas Israel menceroboh dan menduduki Baitul Maqdis Timur, Tebng Barat, Semenanjung Gaza, Tanah Tinggi Golan dan Semenanjung Sinai. Resolusi 242 menetapkan Israel wajib berundur dari wilayah yang ditawan dan kembali ke sempadan sebelum Jun 1967.
Sempadan ini yang diberi jolokan garisan hijau (green line) diputuskan dalam Perjanjian penamatan perang Rhodes pada tahun 1949 selepas perang arab-Israel yang pertama. Garisan hijau ini adalah sempadan entiti Israel dan negara Palestin yang tinggal selepas pelan pembahagian PBB 1947 iaitu berdasarkan Resolusi 181 (1947) dan ditambah dengan wilayah yang dirampas Israel pada perang 1948.
Sempadan ini meletakkan israel berbatasan dengan Baitul Maqdis Timur dan Tebimng Barat yang diperakui sebagai negara Palestin.Ini bermakna pendudukan Israel ke atas Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur adalah haram dan tidak diperakui oleh Badan dunia PBB. Dalam ertikata lain Israel telah melanggar ketetapan PBB dan boleh dikenakan tindakan yang biasa bagi mana-mana negara yang melanggar ketetapan PBB iaitu samada dikenakan sekatan ekonomi atau tindakan ketenteraan.
Berdasarkan kepada realiti perundangan antarabangsa- Israel sudah jelas melanggar undang-undang. Bermakna dakwaan Netanyahu bahawa Israel berhak ke atas Baitul Maqdis timur adalah dakwaan yang menyalahi undang-undang antarabangsa dan piagam PBB. Apapun tafsiran sejarah yang hendak dikaitkan dengan kewujudan bangsa Yahudi di Baitul Maqdis tidak boleh dijadikan hujah untuk menyokong atau mengabsahkan dakwaan Netanyahu.
Baiklah sekiranya
mereka menggunakan alasan sejarah, maka kita akan menilai sejarah pula secara objektif berdasarkan kebenaran sejarah semata-mata tanpa ada sebarang kepentingan puak, bangsa atau agama tertentu.
Palestin dan baitul Maqdis- khususnya sudah wujud sebagai pusat tamaddun tertua di dunia. jauh sebelum kehadiran Nabi Ibrahim AS yang sama-sama diperakui oleh umat Islam, Kristian dan Yahudi sampai ke Baitul Maqdis (atau Urshalem - nama lamanya), sudah ada penduduk asal dari keturunan Kanaan. Mereka inilah nenek moyang penduduk bumiputera palestin pada hari ini.
Di samping mereka disertai pula oleh kaum Filistin dan juga Phonecean dari pulau-pulau yang berselerak di laut Aegean dan Mediterranean. Mereka telah membina penempatan tidak kurang dari 10,000 tahun yang silam. Kemudian datang pula kaum-kaum yang mempunyai gagasan imperialisme seperti Assiria dan Babilonia yang datang melakukan pembantaian dan perhambaan ke atas penduduk Baitul Maqdis. Ini bererti
kaum Yahudi yang dikaitkan sebagai keturunan Nabi Yaakub (atau Israel) adalah kaum pendatang. Mereka telah berjaya memakmurkan bumi Baitul Maqdis di bawah kepimpinan beberapa orang Nabi seperti Nabi Daud dan Sulaiman AS. Namun mereka juga seperti umat yang terdahulu melakukan pelbagai kezaliman dan kerosakan sehingga mereka dihancurkan oleh musuh sebanyak dua kali dalam sejarah - bahkan peristiwa kehancuran ini disebut di dalam al-Quran dan kitab perjanjian baru (Bible) serta disahkan oleh fakta sejarah. Apabila berlaku kehancuran kedua di tangan empayar Rum, orang yahudi tidak dibenarkan menetap di Baitul maqdis selama lebih kurang 700 tahun.
Senario ini berubah apabila Baitul Maqdis di ambil alih oleh kerajaan islam di bawah pimpinan Khalifah Umar al-Khattab.Umar telah mengistiharkan kota Baitul maqdis sebagai kota terbuka yang mana setiap jiwa akan dijamin keselamatannya tanpa mengira bangsa dan agama. tempat-tempat ibadah dijamin keselamatan oleh pihak pemerintah/khalifah . Inilah yang dinamakan al-Uhda al-Ummuriyah (Dekalarsai Keamanan Umar). Senario ini berterusan sehingglah pecahnya Perang salib 400 tahun kemudian. Sebagaimana yang disaksikan oleh sejarah tentera salib telah membunuh umat Islam, yahudi dan juga Kristian unitarian (yang memperakui Tuhan yang satu).
Keadaan kembali aman setelah salahuddin mengambil alih Baitul Maqdis dari tentera salib. Baitul maqdis sekali lagi menjadi kota keamaan terbuka dan bebas diziarahi oleh sesiapa. Begitulah
keadaan terus berlangsung sehingga berdiri pula entiti haram israel pada tahun 1948. Kini sekali lagi penduduk Arab yang beragama Islam dan Kristian menjadi mangsa keganasan dan cauvinis yahudi zionis.
Apa yang
dapat disimpulkan dari kebenaran sejarah ialah:
1- Baitul maqdis bukan milik ekskulif mana-mana bangsa atau agama.
Ia telah diistiharkan sebagai kota keamanan dan terbuka kepada semua pemeluk agama. apakah alasan yang hendak digunakan untuk mewajarakan orang Yahudi mendakwa Baitul maqdis milik eksklusif mereka sahaja.
Dari dua sudut pandang iaitu
perundangan dan kebenaran sejarah apa yang boleh disimpulkan ialah tel Aviv membina
penempatan haram di atas tanah/wilayah yang
diduduki secara haram. Dengan sendirinya
dakwaan Netanyahu dapat ditolak dan diketepikan begitu sahaja. Ia tidak dapat dipertahankan dalam mana-mana mahkamah keadilan. Tidak ada mana-mana peguam yang sanggup mewakili Netanyahu untuk mempertahankan pendiriannya. Kesnya telah diputuskan tanpa mahkamah perlu bersidang.
Apakah hasrat yang terselit dari
'kedegilan' israel untuk meneruskan pembinaan penempatan Yahudi. Tidak syak lagi bahawa ia adalah sebahagian dari perancangan untuk mengyahudikan baitul maqdis.
Mereka telah membatalkan status permastuatinan ramai penduduk Baitul Maqdis, merampas tanah mereka, merobohkan rumah mereka dan memagari kediaman mereka dengan tembok-tembok tinggi. Kemudian mereka bina pula kuil Hurva yang tidak jauh dari Masjid al-Aqsa. Semua ini adalah sebahagian dari perlaksanaan strategi untuk merampas masjid al-Aqsa dan meronohkannya untuk pembinaan kuil atau haikal Sulaman.
Dalam membicarakan tentang tuntutan Yahudi ke atas Masjid al-Aqsa yang mereka dakwa didirikan di atas tapak asal rumah ibadat mereka (haikal) ada suatu perkembangan yang menarik.
Golongan akademik yahudi di universiti-universiti di Israel telah memutuskan berdasarkan penyelidikan mereka:
i)
'temple' atau kuil yahudi yang dimusnahkan oleh tentera Rum kali kedua pada 70 S.M (Sebelum Masehi) sebenarnya terletak kira-kira 500 m ke tenggara Masjid al-Aqsa. ii)
Tembok tangisan (sebenarnay tembok ini dinamakan tembok Buraq sempena Isra' Mikraj rasulullah SAW) bukan sebahagian tembok kuil kedua yahudi yang dimusnahkan oleh Rum.
Di antara golongan akademik yang menolak Masjid al-Aqsa dibina di atas tapak kuil yahudi ialah Dr Earnest Martin. Berdasarkan kehadiran mata air yang mengalir yang merupakan sebahagian dari keperluan kuil yahudi tidak dapat dikesan di perkarangan masjid al-Aqsa tetapi beberapa ratus meter ke selatan masjid iaitu di Gihon Spring. Pandangan Dr Earnest Martin ini menguatkan lagi tesis Dr benjamin Mazar, mantan Presiden Universiti Hebrew yang melakukan kerja-kerja penggalian di sekitar masjid al-Aqsa dan di bawahnya, bahawa tidak ada tanda-tanda yang menyerupai kuil yahudi di sana.
Kesimpulannya; ialah:
i) golongan pelampau yahudi zionis hanya menggunakan alasan-alasan agama yang palsu untuk meneruskan agenda pendudukan israel ke atas bumi Israel.
Oleh itu adalah,
ii) amat penting bagi semua pihak untuk menyedari fakta dan hakikat sebenar tentang Baitul Maqdis supaya tidak terpedaya dengan alasan-alasan yang diadakan-adakan untuk menutup segala pembohongan zionis Israel
Dr Hafidzi Mohd Noor
Ahli Lembaga Pengarah AQSA SYARIF