Di petik dari Blog Hilal Asyraf, Moganya dipanjangkan manfaatnya buat semua anak2 Ummi jauh dan dekat.....
Saya banyak belajar akan cinta daripada sepasang suami isteri. Itulah dia Pakcik Rosdi Baharom dan Cikgu Maimunah. Setakat ini, dalam hidup saya, belum ada yang boleh mengatasi dua loving couple ini. Walaupun umur sudah melebihi 50-an, mereka sangat-sangat intim dan mesra.
Kalau setakat jalan pegang tangan, duduk dua-dua, ungkap ayat-ayat cinta, mungkin ramai boleh buat. Tetapi pasangan suami isteri ini bukan demikian. Yang membuatkan saya menyatakan tiada yang boleh menandingi mereka adalah apa yang telah mereka harungi, lalui dan korbankan dalam kehidupan mereka. Proses-proses yang mereka lalui, menjadikan mereka adalah mereka hari ini, sentiasa menjadi inspirasi dan aspirasi saya.
Sebab itu cinta untuk saya adalah tinggi dan mahal.
Kalau yang murah, itu bukan cinta namanya. Kalau yang kotor, itu bukan cinta namanya. Kalau bukan yang ke syurga, itu bukan cinta namanya.
Dari mereka berdua juga saya belajar bercinta dengan semua orang. Cinta rupanya tidak terbatas pada perempuan yang kita hendak bersama dengannya sahaja.
Dan bukan perempuan yang kita cinta itu sahaja kita hendak bersama dengannya sahaja rupanya.
Ada ramai lagi rupanya yang saya perlu bersama mereka.
Yakni bersama di akhirat sana.
Dan hari ini saya teringat akan cinta-cinta saya.
Cinta kepada Allah
Cinta kepada Allah? Ramai yang akan menjawab ya.
Bagaimana bentuknya cinta kita kepada Allah? Ramai yang akan terdiam.
Manifestasi cinta adalah amal. Taatkah kita dengan perintahNya? Sudahkah kita menjalankan suruhanNya? Apakah kita berusaha meninggalkan laranganNya?
Melihat kembali atas kehidupan ini, apakah kita telah berusaha bersungguh-sungguh menjadi hambaNya?
Sedang Allah amat cinta kepada kita.
Mengapa kita khianati kasih sayangNya?
Terkedu saya seketika. Sungguh, malu rasanya menyatakan kita cinta pada Allah, dalam keadaan hidup jauh daripadaNya.
Jika benar mencari cintaNya, apakah yang kita usahakan?
Bukankah di akhirat nanti kita berharap untuk bersama Allah?
Cinta kepada Rasulullah SAW dan Para Sahabat serta yang mengikuti mereka
Bagaimana agaknya cinta kita kepada Rasulullah SAW dan para sahhabat serta mereka yang mengikuti mereka?
Tersengih. Biasanya agung sahaja mulut bicara akan kasih dan cinta kepada golongan syurga itu. Tetapi adakah perjuangan mereka kita sambung dalam hidup? Adakah apa yang mereka bawa kita junjung? Apakah yang mereka ajar kita sebar?
Tengok kehidupan dan nilai sendiri. Bukan suruh hitung orang lain. Saya mengajak kita melihat cinta kita yang satu ini pada diri kita sendiri. Bagaimana?
Pelikkan kalau kita kata cinta, tetapi tak buat apa yang dia suruh?
Geleng kepala. Sendiri tahu logika itu. Tetapi semua buat-buat tak tahu.
Macam mana agaknya cinta kita kepada mereka?
Main-main sahajakah? Mengapa kita tidak menaiki ‘kereta’ yang telah mereka naiki untuk ke akhirat?
Bukankah harapan kita agar di syurga nanti kita bersama baginda dan para sahabat?
Cinta kepada Ibu Bapa
Semua kalau bab cakap sayang ibu ayah, berbuih mulut mengaku. Sayang ibu bapa ini pada saya lebih dari sekadar salam cium tangan, tanya khabar dan tersenyum sahaja bersama mereka.
Sejauh manakah kita berbuat baik dengan mereka, itu satu persoalan antara kita dengan mereka. Tetapi pernah tak kita muhasabah, adakah kita memimpin ibu bapa kita ke syurga? Perasan atau tidak, mentaati ibu bapa itu adalah antara ‘tiket’ yang kita perlukan untuk ke syurga. Kalau ibu bapa kita bukan orang Islam pun, kita diwajibkan taat kepada mereka.
Tetapi sejauh mana kita memperkenalkan Islam kepada mereka? Sejauh manakah kita memimpin ibadah mereka? Sejauh manakah kita membina kefahaman mereka terhadap hubungan dengan Allah?
Pernah diusahakan? Bagi yang ayah dan ibunya mungkin memahami Islam pun, pernahkah anda mengurangkan bebanan mereka dari disoal di akhirat kelak dengan anda sendiri hidup dengan baik di atas jalanNya? Ya lah, kadangkala mak ayah kita dah baik. Kita yang tak baik. Nanti di akhirat, mak ayah kita disusahkan kerana terpaksa disoal mengapa kita ini tak jadi baik.
Kalau ibu ayah kita jenis buat dosa, atau hidup dalam ketidakfahaman Islam, pernahkah kita terfikir menembusi akhirat, apakah akan berlaku pada keluarga kita nanti?
Kalau saya, saya tak sanggup melihat ada ahli keluarga saya masuk neraka. Lagi la ibu bapa.
Kalau cinta, selain sayang dan kasih yang kita curahkan kepada mereka, selain taat dan patuh yang kita beri kepada mereka, adakah kita menghidupkan Islam dalam kehidupan mereka dan menjalinkan mereka kepada Allah SWT? Sebanyak mana kita berdoa agar Allah kurniakan ibu bapa kita istiqomah atas jalan Iman dan Islam?
Satu persoalan yang besar bukan?
Boleh perhatikan.
Atau anda tidak berniat untuk bersama ibu bapa anda ke syurga?
Cinta kepada sahabat
Orang kata, sahabat masa ketawa mudah dicari, sahabat masa menangis sukar ada.
Em, saya tak pandang besar bahagian ketawa menangis ni. Pada saya, bahagian yang saya pandang adalah bahagian: Sahabat ke neraka mudah dicari, sahabat ke syurga sukar ada.
Itu mungkin sesuatu yang besar untuk diperhatikan bukan?
Jangan pandang sahabat kita dan hitung mereka: Adakah sahabat aku ini seorang yang nak bersama aku ke syurga atau dia sekadar akan membawa aku ke neraka?
Jangan. Jangan dan jangan.
Tetapi pandanglah diri kita dan hitung diri sendiri: Apakah kita ini seorang yang nak bersama sahabatnya ke syurga, atau kita ini sekadar hendak membawa sahabat-sahabat kita ke neraka?
Maka lihat balik. Bagaimana kita berhubungan dengan sahabat-sahabat kita? Ke arah mana kita bawa sahabat-sahabat kita? Bila sahabat-sahabat kita melakukan kejahatan, apakah yang kita lakukan kepada mereka?
Kalau benar cinta, ke syurgalah destinasinya. Mustahil cinta itu adalah melempar orang ke dalam neraka. Mustahil dan mustahil.
Tidakkah satu kekurangan, sahabat rapat kita tiada bersama kita di syurga?
Tidak tahulah pada kamu. Pada saya, ia satu kesedihan.
Penutup:
Banyak lagi cinta, Dan asasnya satu.
Cinta yang kukuh, berasal dari asas yang kukuh. Untuk saya, saya tidak melihat asas yang lebih kukuh daripada keimanan kepada Allah SWT. Tidaklah saya cinta sesiapa atas nama kelab. Tidaklah saya cinta sesiapa atas nama negara. Tidak juga saya cinta sesiapa atas nama clan.
Cinta kita ini, kita kena bangunkan kerana iman kepada Allah SWT.
Allah suruh berkasih sayang. Allah suruh kasih mengasihi. Allah suruh kenal dan Allah suruh ajak kepada kebaikan.
Tanpa iman, kita tidak akan dapat bercinta dengan Allah dan RasulNya. Tanpa iman, kita tak akan dapat bercinta dengan serius terhadap ibu bapa. Tanpa iman, dengan sahabat kita hanya akan ke arah yang kotor dan hancur.
Banyak lagi cinta tidak tersebut oleh saya. Cinta kepada masyarakat, cinta kepada isteri dan anak-anak, cinta kepada negara dan cinta kepada bumi ini, cinta kepada akhirat dan sebagainya.
Tetapi kalau perasan, asas cinta adalah keimanan. Itu asas terkukuh.
Kerana apa?
Kerana iman memacu manusia untuk beramal.
Cinta, tanpa amal, ada makna?
Tidak dinamakan cinta kalau tiada buktinya.
Maka mari perhatikan cinta-cinta kita.
Adakah anda benar mencinta?
Dicopy oleh:
Ummi Wardah
No comments:
Post a Comment