Tuesday, January 4, 2011

Terima Kasih Israel...????

"Terima Kasih Israel"

by Aqsa Syarif on Tuesday, January 4, 2011 at 5:32pm

Assalamualaikum

Bersama kita memuji Allah S.W.T dengan menyebut Alhamdulillah. Bersama kita berselawat untuk Nabi S.A.W dengan menyebut Sallahu ala Muhammad Sallahu alaihi wassalam. Bersama kita mendoa untuk para sahabat baginda dan ahli keluarga baginda dan doa yang beterusan untuk pengikut-pengikut baginda hingga hari Qiamat.

Berlalunya 2010 dan munculnya 2011, menandakan kita semakin hampir dengan hari dibangkitkan dan hari pembalasan. Sudahkah kita bermuhasabah apa yang kita kerjakan sepanjang tahun lepas. Dan sudahkah kita merancang apa yang akan dikerjakan sepanjang tahun hadapan pula. Tanpa rahmat Allah, amal kita yang sedikit ini tidak bermakna di hadapanNya.

Belum sampai setahun usia pendaftaran Aqsa Syarif. 4 Febuari 2011 baru genap setahun. Namun saya bagi pihak BoT Aqsa Syarif mengucapkan tahniah dan terima kasih JZKK kepada seluruh sekretariat Negeri & Daerah, seluruh sukarelawan, pendokong dan penyokong amal Palestin seluruh negara mahupun di luar.

Tahun 2010 menyaksikan anjakan besar Aqsa Syarif mengambil tempat sewajarnya dalam perjuangan Palestin. Walau dilaporkan beberapa kejayaannya, namun kami BoT Aqsa Syarif sentiasa merasa bersalah di hadapan Allah S.W.T kerana masih banyak kerja yang ditagih belum tercapai.

Barisan ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif (BoT).

Saya teringat satu tazkirah ringkas yang dibuat selepas solat Asar di masjid Abd Rahman Auf, Suweileh, Amman, ketika saya masih belajar di Universiti Jordan. Dr Hamam Said dalam tazkirah itu mengucapkan “terima kasih” kepada kerajaan Penjajah Israel. Kami terpinga-pinga.

Apakah balaghah yang digunakan oleh Dr Hamam Said di sebalik ucapan sebegitu. Sejak 1948 Israel menjajah, isu Palestin semakin sejuk. Namun bila Israel melakukan beberapa kesilapan, dunia semakin celik tentang isu Palestin.

“terima kasih” seumpama yang disebut oleh Dr Hamam Said membawa maksud kekejaman Israel itu sendiri telah membuka jalan untuk kita mengerjakan mereka pula.

“terima kasih” kepada Israel yang dimaksudkan oleh Dr Hamam Said adalah penghinaan untuk mereka, dengan bahasa balaghah yang tinggi. Kita gunakan bahasa balaghah ini pula untuk menyaksikan apa yang sedang berlaku kini.

Kita sukarelawan Palestin hampir putus idea untuk menjulang isu Palestin ke mata dunia antarabangsa malah nasional. Namun Allah S.W.T aturkan kesilapan Israel menyerang Gaza akhir tahu 2008 dan awal tahun 2009, dinamakan perang 22 hari itu. Ia telah mengejutkan semua.

Perang Gaza tempoh hari menyaksikan statistik: Seramai 1,440 orang mati syahid. Mangsa yang cedera seramai 5,450 orang. Mangsa yang hilang tempat tinggal seramai 9,000 orang. Sebanyak 27 masjid telah dimusnahkan. Sebanyak 67 buah sekolah telah rosak atau musnah. Sebanyak 34 buah pusat kesihatan dimusnahkan.

Palestinian civilians and medics run to safety during an Israeli strike over a UN school in Beit Lahia, northern Gaza Strip early on January 17, 2009.

Seluruh dunia Islam bangkit membuktikan simpati dengan menghantar pelbagai bantuan. Seluruh dunia bukan Islam tertanya-tanya kezalaiman apa yang sedang berlaku. Namun mereka kaku tidak membantu. Kalau ada pun terlalu sedikit.

Gabungan Aqsa Syarif bersama Haluan Palestin, Yayasan Amal, Muslim Care, Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM) di bawah payung IHH Turki, melalui bahtera terkenalnya Marvi Marmara dan gabungan Aqsa Syarif dalam Konvoi Daratnya bersama Viva Palestina Malaysia di bawah Viva Palestina UK telah menggoncangkan isu Palestin di peringkat antarabangsa.

Kini Israel semakin cemas menghitung hari-hari kemusnahannya. Telah mencecah lebih 100 negara cuba mengiktiraf Negara Palestin di atas muka bumi ini. Gelombang kebangkitan ini tidak boleh ditiup padam dengan mulut pemimpin Israel atau sekutu besarnya Amerika Syarikat.

Tersusunnya kebangkitan Islam melalui isu Palestin ini sangat halus dan sangat unik. Kita yakin ia adalah perancangan Allah S.W.T. Kita manfaatkan semangat kemanusiaan atau semangat keadilan. Kita manfaatkan gerakan Islam mahupun NGO-NGO pelbagai. Kita manfaatkan pemerintah dari masyarakat Islam mahupun pemerintah bukan Islam. Semuanya mengheret untuk membantu Palestin.

Membantu Palestin bererti memerangi Israel. Memerangi Israel menepati surah al-Fatihah, “Bukan jalan yang dibenci”. Saya hampir menitiskan air mata bila melihat seorang bukan Islam melemparkan botol coca colanya dengan mengatakan “saya kini boikot minuman ini”.

Aqsa Syarif menanyakan kepada anda, apa perasaan anda apabila melihat wanita yang belum bertudung memegang bahan jenama Loreal, sambil berdiri di pasar lambak, di khalayak ramai melaungkan boikot barangan yang menguntungkan Israel.

Ini adalah kebangkitan besar yang rugi kalau kita tidak secara serius bangkit untuk memimpin bersama dalam arus perdana ini.

Aqsa Syarif kini menaja 430 orang anak yatim samada di Tebing Barat mahupun di Gaza. Agak renyah menyantuni urusan anak yatim tersebut samada mengingatkan amanah bulanan para penaja, menghantar wang, resit dan sebagainya. Namun, semuanya dapat dibaiki dari masa ke semasa. Kami berbangga dengan sikap pemurah ibubapa penaja angkat kepada anak yatim tersebut. Kami sentiasa mendoakan penaja-penaja tersebut.

Tahun 2011 ini, kita ingin mencapai sasaran tajaan 1,000 anak yatim. Saya percaya ramai lagi warga Malaysia yang bersedia untuk menjadi keluarga angkat mereka. Peluang ini terbuka luas. Kami juga yakin ramai juga yang tidak mampu untuk menaja tetapi ingin mendapat pahala sebagaimana pahala penaja. Maka teruskan berkempen untuk mendapatkan penaja-penaja baru.

Hujung tahun 2010, kita mampu menghantar RM180 ribu untuk kemudahan saudara-saudara pelarian Palestin kita di Lubnan melalui bantuan Wisma Putra. Bantuan Aqsa Syarif ke sana juga dilaksanakan melalui kerjasama Bersamamu Palestin. Ia satu projek mulia TV3 dan Media Prima. Bersama kita ketika itu penyanyi Faizal Tahir.

Ya! 2011 kita tidak boleh mengabaikan keperitan hidup yang mereka hadapi. Mereka terus “terpenjara” di bangunan-bangunan sempit. Melarat di perkhemahan Lubnan itu. Ada sedikit berita gembira dari Parlimen Beirut. Mereka telah meluluskan sedikit kelonggaran untuk mereka nikmati hidup yang lebih selesa. Tetapi ia belum mencapai taraf yang sewajarnya.

Peluang pekerjaan terbatas. Mereka tidak boleh ceburi 70 jenis pekerjaan. Malah, mereka tidak boleh memiliki permis hartanah, perniagaan mahupun berkongsi hidup dengan rakyat tempatan. Aqsa Syarif bersama anda tidak boleh pandang remeh penderitaan itu. Kita akan hamparkan projek-projeknya di Lubnan lebih rancak dari 2010.

Di Gaza pula, Aqsa Syarif telah menceburi beberapa projek untuk hospital kanser dan sekolah. Tidak ketinggalan juga kita menaja projek besar kandang lembu yang menelan belanja hampir Euro 100 ribu. Membolehkan ia terus beroperasi setelah terbengkalai sebelumnya. Syukur kepada Allah S.W.T.

Tahun 2011, terdapat 6 projek besar yang melambaikan tangan kepada rakyat Malaysia melakukan sesuatu. Aqsa syarif sedang bertungkus lumus untuk menjayakan projek kilang roti rakyat Malaysia. Selepas terbinanya kilang roti rakyat Bahrain, ia akan menjadi kilang roti kedua di seluruh Gaza.

Rakyat Palestin dihujani dengan peluru pada bila-bila masa. Pada masa yang sama mereka terpaksa membina generasinya dan membina fizikal pembangunannya serentak. Malangnya, segala-galanya terbatas. Aqsa Syarif dan rakyat Malaysia tidak mampu ke sana untuk membantu mereka. Namun, dengan adanya kandang lembu dan kilang roti, kita telah menyelesaikan masalah besar mereka iaitu makanan. Alangkah baiknya jika kita membantu mengurangkan kesibukkan mereka mengurus makanan. Supaya, dapatlah mereka menumpukan perhatian kepada urusan lain yang lebih penting.

Aqsa Syarif mensasarkan projek kilang roti yang menelan belanja RM 650 ribu itu siap urusannya pada 9 Mac 2011. Semoga ia menjadi mercu tanda kejayaan rakyat Malaysia di sana.

Aqsa Syarif percaya Israel yang kelihatan tersepit itu akan mengganas untuk tahun-tahun mendatang. Namun, kita berpegang kepada hadis Nabi S.A.W untuk tidak bercita-cita membunuh dan dibunuh. Kita sentiasa mencari “a’fiah” . Aqsa Syarif bersedia memimpin mencari kesejahteraan dan keamanan.

Tekanan media, politik dan ekonomi adalah bukti kita berhadapan dengan musuh Allah dan musuh dunia itu dengan kematangan yang tinggi. Namun, kalau mereka yang mencetus peperangan, kita serahkan mereka kepada Allah S.W.T . Kita serahkan juga kepada seluruh penduduk dunia untuk mengerjakan si Yahudi yang dilaknat Allah itu. Ya syurga Allah berada di bawah bayangan pedang hamba-hambanya.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahi Alhamd!!

USTAZ HASANUDDIN MOHD YUNUS

Pengerusi AQSA SYARIF

Ahli Dewan Perwakilan Nasional Pertubuhan IKRAM Malaysia

Ahli Persatuan Perubatan Darussyifa’ Malaysia

No comments:

Post a Comment