Thursday, May 5, 2011

SELAMAT HARI IBU

KENYATAAN MEDIA SEMPENA HARI IBU 2011

OLEH WANITA PERTUBUHAN IKRAM IKRAM MALAYSIA

CABARAN PARA IBU MASA KINI : APAKAH SENTUHAN IBU KIAN LUNTUR?

Semua wanita normal ingin menjadi seorang “Ibu”.

Secara umumnya, bila ditanyakan kepada sejuta wanita, “Apakah anda ingin menjadi seorang Ibu?” maka pastilah mereka semua akan menjawab, “YA!”

Syurga di bawah telapak kaki ibu.

Itulah gambaran kehormatan dan kemuliaan seorang ibu .

Seorang ibu sangat berhasrat dan mengimpikan untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam hidup. Mereka ingin melihat tiap seorang daripada anak mereka mencapai kesejahteraan dari segi fizikal, mental, sosial dan juga rohani. Ini adalah satu jihad dan usaha keras yang menuntut kecintaan, kasih sayang, kesabaran dan pengorbanan serta pertimbangan yang tinggi diperlukan dalam usaha membesarkan anak anak.

Anak ialah amanah daripada Allah bukan saja di dunia bahkan di akhirat sewaktu berhadapan dengan Allah kelak. Dalam rangka memelihara amanah Allah itu, ibu dan bapa diwajibkan berusaha dengan bersungguh-sungguh melaksanakannya berpandukan panduan dan didikan agama.

Dalam satu hadis , Rasulullah S.a.w bersabda , yang bermaksud : “Seorang anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah dan ibu bapanyalah yang mencorakkan sama ada ia menjadi seorang Yahudi , Nasrani , atau Majusi “. ( HR Bukhari & Muslim)

Cabaran ibu masakini.


Dengan beredarnya masa, kini kita berada di zaman pascamoden. Di tengah kepungan budaya Barat dan penjajahan media, benarkah ramai ada wanita yang belum dapat menghayati tugas, tanggungjawab atau peranan sebagai ibu? Benarkah wanita kini tidak seronok lagi menjadi wanita bergelar ibu? Mengapa agaknya mempunyai anak-anak yang ramai tidak lagi menjadi kebanggaan?

Perkembangan teknologi telah menyebabkan keibubapaan pada masa kini jauh berbeza dengan keibubapaan pada masa lalu. Berbagai cabaran wujud dalam bidang ini yang kadangkalanya memberi kesan kepada interaksi dalam keluarga. Contohnya perkembangan dalam teknologi terutamanya dalam teknologi maklumat telah mengubah cara hidup kita, cara berkomunikasi dan juga pada sistem masyarakat keseluruhannya.


Setiap hari di dada akhbar kita dapat melihat bahawasanya remaja kini kebanyakannya terlibat dengan masalah sosial yang menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tugas ibu semakin mencabar.

(Statistik)

Bayangkan! Ribuan para ibu di Malaysia hari ini, sebenarnya telah, sedang dan akan terus menumpahkan airmata sedihdan hiba, menangisi anak-anak kesayangan mereka yang terbabit secara langsung dalam jenayah dan gejala sosial yang melambangkan keruntuhan akhlak, nilai dan moral segelintir generasi muda hari ini. Masyarakat amnya hanya cenderung menuding jari menyalahkan ibu dan bapa yang dikatakan gagal mendidik anak-anak menjadi manusia berguna. Para ibu yang malang ini juga sentiasa tertanya-tanya, di manakah kesilapan mereka mendidik anak-anak ini, yang asalnya ibarat kain yang putih bersih. Entah bila dan bagaimana anak yang dibesarkan itu berubah menjadi agen perosak masyarakat yang mengancam ketenteraman dan kesejahteraan orang lain!

Wanita IKRAM akur sesungguhnya tiada penyelesaian simplistik dan jawapan yang mudah kepada permasalahan yang kompleks ini, yang dicetuskan oleh pelbagai faktor yang saling berkaitan. Namun hakikatnya, perubahan struktur keluarga moden dan pegangan nilai yang menjadi batu asas institusi kekeluargaan hari ini, sememangnya mempunyai kesan yang amat ketara kepada perkembangan anak-anak generasi muda Malaysia. Tidak dapat dinafikan, pembabitan ibu ke dalam sektor kerjaya di luar rumah sebenarnya mengurangkan peruntukan masa, tenaga dan emosi para ibu untuk menguruskan keluarga dan rumahtangganya. Dari menjadi ibu yang sepenuh masa berada di rumah memberikan tumpuan kepada keluarga, ibu bekerjaya kini perlu pintar mencari ruangan masa berkualiti untuk dihabiskan bersama keluarga. Walaupun kebanyakan ibu bekerjaya begitu komited terhadap keperluan dan tuntutan keluarganya, mahu tidak mahu tanggungjawab memikul amanah di tempat kerja sering men`curi’ tumpuan dan me`misah’kan wanita dari keluarganya. Anak-anak di pelbagai peringkat usia pula sentiasa memerlukan bimbingan yang khusus untuk menjamin pertumbuhan jasmani, minda, emosi dan spiritual yang sihat.

Sempena Sambutan Hari Ibu 2011,
Wanita IKRAM ingin mengutarakan enam (6) penegasan ini:

1. Ibu bekerjaya, terutama ibu muda mestilah melengkapkan diri dengan kemahiran tinggi menguruskan keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga. Keutamaan mestilah diberikan kepada pembangunan jatidiri setiap ahli keluarga terutamanya dalam membuat keputusan yang bijak mengenai kehidupan. Kerjaya tidak boleh dijadikan liabiliti, malahan mesti menjadi kekuatan utama ibu (dan juga bapa) dalam mendapatkan pengetahuan, pengalaman dan kepintaran menguruskan kepelbagaian dalam menempuh cabaran hidup berkeluarga. Mengimbangi semua peranan yang terpikul itu secara bijaksana.

2. Ibu bekerjaya mestilah mendapat sokongan dan dokongan utama dari suami. Harus diingat bahawa walau bagaimana sibuk sekalipun si suami yang merupakan ketua keluarga, mereka seharusnya memahami kepentingan pendidikan agama terhadap ahli keluarga termasuk anak-anak.

Suami kepada seorang isteri yang bekerjaya harus mampu memainkan peranan aktif dan berkesan dalam membangunkan keluarga bersama-sama. Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul.

3. Bagi ibu tunggal yang bekerjaya, sokongan ahli keluarga dan jiran tetangga mestilah mampu dijana bagi menjamin pertumbuhan keluarga yang sihat.

4. Ibu dan bapa digesa memberikan sepenuh penekanan ke atas pembinaan sahsiah dalaman anak-anak melalui penerapan nilai spiritual yang tinggi dan mantap, bermula dari dalam rahim sehinggalah mereka mencecah usia muda belia. Kecerdasan emosi dan kekuatan rohani telah terbukti menjadi perisai paling kukuh untuk membentengi manusia dari terjerumus ke lembah kehinaan dan kemusnahan.

5. Para majikan mestilah sentiasa peka dan responsif terhadap tanggungjawab yang perlu dipikul oleh para ibu dalam membangunkan keluarga mereka, bukan semata-mata memberikan penekanan kepada produktiviti organisasi sahaja. Majikan yang menjaga kebajikan pekerja mereka, khususnya yang berkaitan dengan keluarga, akan diganjari dengan komitmen dan kesetiaan yang tinggi di kalangan pekerja yang seterusnya membuahkan produktiviti dan daya saing yang tinggi.

6. Barisan pucuk pimpinan negara, diseru memberikan keutamaan paling tinggi kepada usaha menangani gejala sosial dan jenayah yang semakin meruncing. Usaha yang serius, bersepadu dan konsisten membenteras permasalahan kronik ini hingga ke akar umbinya, mestilah dimulakan di peringkat tertinggi dalam pentadbiran negara, agar segala polisi dan peraturan yang dibentuk selaras dan sejajar dengan nilai kepentingan institusi kekeluargaan. Pendek kata, sebarang polisi yang menyumbang kepada penghakisan nilai dan moral, serta boleh memberikan pengaruh negatif kepada keluarga mestilah digantikan dengan polisi yang lebih bersifat mengawal dan mengekalkan keutuhan keluarga.

Pesanan Saidina Ali:

Didiklah anak kamu dengan cara yang berbeza setiap 7 tahun.

7 tahun pertama, beri dan ajarkan mereka tentang kasih sayang. Manjakan mereka dengan kelembutan dan rasa cinta.

7 tahun kedua, berlaku tegas dengan mereka, didik mereka dan perbetulkan kesalahan yang mereka lakukan.

7 tahun ketiga, berkawanlah dengan mereka, di saat ini mereka memerlukan teman untuk berbicara dan mengemukakan pendapat. Mereka sudah boleh berfikir, bersahabatlah dengan mereka sebelum mereka mempunyai sahabat lain yang boleh merosakkan akhlak.

Sempena Hari Ibu 2011, ayuh bersama kita pastikan keluarga tidak akan kehilangan wanitanya, ibu tidak hilang peranannya yang merupakan satu anugerah yang amat berharga dari Allah SWT!


Selamat Hari ibu. Semoga para ibu dapat menjadi jambatan terwujudnya generasi masa depan yang diidamkan semua!


Aminn...

No comments:

Post a Comment