RAWATAN KEMOTERAPI
MEMAHAMI KEMOTERAPI
Salah satu kaedah rawatan kanser yang sering diberikan kepada pengidap kanser adalah ubat kemoterapi. Bab ini disediakan untuk membantu anda, keluarga anda dan rakan-rakan anda memahami kemoterapi. Kemoterapi tidak dapat tidak akan mengubah kehidupan anda. Disamping mengalami perubahan dari segi penampilan fizikal dan emosi, anda mungkin juga akan merasa sukar untuk bercakap mengenai apa yang anda rasa kepada orang lain. Dengan memahami bagaimana kemoterapi bertindak ke atas sel-sel yang normal dan tidak normal dalam diri anda, diharap anda akan lebih tabah dalam menghadapi sebarang kesan sampingan yang dialami sepanjang dalam rawatan ini. Apa yang penting adalah anda perlu sentiasa berfikiran positif di dalam menjalani rawatan kemoterapi ini.
APAKAH ITU KEMOTERAPI
Kemoterapi ialah rawatan yang menggunakan ubat-ubatan yang khusus untuk merawat sesuatu penyakit kanser. Di sini, kemoterapi merujuk kepada penggunaan ubat-ubatan khusus untuk melawan dan memusnahkan sel-sel kanser yang sedang merebak dengan cepat dalam badan anda. Ubat ini akan memasuki sistem pengaliran darah anda dan pergi ke seluruh badan untuk membunuh sel-sel kanser yang tidak dapat di buang melalui pembedahan atau di musnahkan oleh rawatan radioterapi. Bila lebih dari satu jenis ubat digunakan, ia dipanggil kemoterapi kombinasi.
BAGAIMANA KEMOTERAPI BERTINDAK
Terdapat banyak jenis ubat kemoterapi yang digunakan untuk merawat kanser. Ubat kemoterapi sebenarnya banyak yang dihasilkan dari tumbuh-tumbuhan seperti contohnya ubat Paclitaxel yang digunakan untuk merawat banyak jenis kanser. Ubat kemoterapi ini dihasilkan dari kulit pokok yew. Terdapat beberapa kategori ubat kemoterapi yang mempunyai perbezaan dari segi bagaimana ubat-ubat ini mematikan sel-sel kanser.
Secara amnya semua ubat-ubat kemoterapi mematikan sel-sel kanser dengan cara bertindak mengganggu atau merencat proses pembiakan sel-sel kanser. Ini dilakukan dengan cara merosakkan DNA ataupun baka sel-sel kanser melalui berbagai-bagai kaedah seperti mengikat (“cross-linking”) ataupun memotong DNA tersebut. Akibat kerosakan DNA ini maka sel-sel kanser ini akan mati. Ubat kemoterapi lebih berkesan terhadap sel-sel kanser yang cepat membiak.
Kadangkala ubat ini tidak dapat membezakan di antara sel-sel kanser dan sel-sel normal yang juga cepat membiak seperti sel-sel dinding usus, mulut, organ reproduktif terutamanya ovari, sel-sel rambut dan juga sel-sel sum-sum tulang. Sel-sel ini mungkin terdedah kepada kesan ubat kemoterapi walau bagaimanapun dengan kaedah rawatan yang terancang dan teliti oleh Pakar Kanser, kesan-kesan ini dapat diminimakan malah jika sekiranya berlaku ianya adalah lebih bersifat sementara.
APAKAH FUNGSI RAWATAN KEMOTERAPI
Rawatan kemoterapi mempunyai beberapa tujuan, diantara tujuan rawatan kemoterapi adalah seperti berikut :
A. RAWATAN UTAMA. Sebagai kaedah rawatan utama kanser. Contoh rawatan kemoterapi sebagai rawatan utama adalah di dalam kes kanser anggur ataupun koriokarsinoma.
B. KEMOTERAPI ADJUVAN. Untuk mengurangkan kadar kejadian semula kanser kepada pesakit-pesakit yang telah menjalani rawatan utama contohnya rawatan pembedahan. Rawatan kemoterapi ini dikenali sebagai rawatan adjuvan ( “Adjuvant chemotherapy”). Contoh rawatan ini adalah rawatan kemoterapi ke atas pesakit kanser ovari yang telah menjalani rawatan pembedahan.
C. KEMOTERAPI NEOADJUVAN. Sebagai rawatan permulaan sebelum pesakit menerima rawatan utama. Tujuan rawatan neoadjuvan kemoterapi ini adalah untuk mengecilkan saiz kanser dan dengan itu rawatan pembedahan yang akan dijalankan akan menjadi lebih mudah. Contoh rawatan neoadjuvan ini adalah rawatan ke atas sebahagian kes kanser pangkal rahim dan kanser ovari.
D. KEMOTERAPI PALIATIF. Peranan terakhir rawatan kemoterapi adalah sebagai kaedah rawatan untuk mengurangkan penderitaan pesakit kanser yang sudah tidak dapat disembuhkan lagi. Ini dinamakan Kemoterapi Paliatif ( “Palliative Chemotherapy”).
Contoh rawatan ini adalah kepada pesakit kanser pangkal rahim ataupun kanser-kanser lain yang merebak biji kelenjar Para-aortik dan menyebabkan penyumbatan saluran buah pinggang dan menyebabkan salur buah pinggang dan buah pinggang menjadi bengkak (“hydroureter, hydronephrosis”). Pesakit akan menghadapi masalah sakit pinggang dan jangkitan buah pinggang. Biji kelenjar yang besar ini juga boleh menekan urat saraf dari tulang belakang dan menyebabkan kesakitan bahagian belakang.
Tujuan rawatan adalah untuk mengurangkan kesakitan dan mengurangkan kesan penyempitan. Rawatan kemoterapi paliatif ini tidak bertujuan untuk menyembuhkan penyakit kanser pesakit tetapi untuk mengurangkan penderitaan akibat kesakitan.
Allahul lazhi Qaddara bil aza wal maradh wahuwa syafi.....laa syifaa illa syifaauka..syifaaun laa yughodiru syaqamaa...
Ummu Wardah.
No comments:
Post a Comment