Sunday, November 15, 2009
Bonda, Engkaulah Ibu Bagaikan Wardah yg merah menyala
IBU...berbaktilah semasa ada..
Bonda Hjh Habsah telah menjangkau usia 78 tahun. Ketika Ummi dilahirkan usianya 27 tahun. Begitulah catatan yang tertera di Surat Kelahiran Ummi. Kini seusianya Alhamdulillah Ummi masih dapat melihatnya, solatnya tetap berdiri, rukuk dan sujud. Pendek kata masih cukup qiam solatnya. MasyaAllah....Walhamdulillah bonda orang tua yang masih sihat. Moga Allah terus memeliharanya...Ingatannya masih jelas sekalipun tidak sebaik dulu. Maksud Ummi bonda tidak nyanyuk. Dalam keadaan biasa bonda tidak memerlukan kacamata. Penglihatannya masih jelas sekalipun hanya sebelah matanya yang masih berfungsi dengan baik.
Seingat ummi, boleh dikatakan setiap malam bonda pasti akan qiamullail. Berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Setiap pagi selepas subuh pasti akan duduk dikatilnya menelaah AlQuran dan terjemahannya. Al-Quran itu hadiah abang sulungku padanya.
Terbayang bila Bonda mula membaca,
Tingkap dibuka luas. Langsir disingkap ke tepi supaya cahaya dari luar menerangi ruang bilik belakang di mana bonda duduk selama tinggal di rumah Ummi. Alhamdulillah Ummi rasa bersyukur kerana bonda senang untuk tinggal di sini. Setiap pagi sebelum pergi ke tempat kerja pasti ummi akan bersalam dulu dengan bonda.
Namun sebagai anak, ummi amat terasa, betapa kesebokan tugasan, kadang-kadang menjadikan perhatian ummi pada bonda juga terkurang...
Ah..pastinya seorang tua ..., terasa sunyi. Tiada yang bercerita bersamanya.... Ditambah pula, bila anak-anak sebok dengan pelbagai urusan kerjaya, balik lewat petang atau malam hanya bibik pembantulah yang paling setia meneman bonda. Bibiklah yang paling tahu sakit demamnya, makan minumnya.......
Bonda baru sahaja baik dari demam dan sakit perut yang menyebabkan bonda amat letih...Sebelum ini bonda jikapun demam tak seletih ini...bila Ummi pegang badannya sejuk, amat tersa kulit gemersiknya. Begitu letih...namun bonda gagahkan diri, tetap solat berdiri.....bila masuk waktu cepat2 bonda tunaikan solat..
Cuaca yang redup, hujan dan selalu mendung, menyebabkan bonda agak keliru. Lalu selalu bertanya , " Sudahkah masuk waktu..?
Menjadi kelaziman ummi, bila bonda tidak sihat pasti ummi maklumkan semua adik beradik ummi yang berhampiran agar berziarah bonda. Harapnya bonda akan cepat sembuh bila melihat anak-anaknya datang melawat. Itulah kelebihan sebenarnya jika bonda yang sudah uzur tinggal bersama. Rumah kita pasti jadi tumpuan ahli keluarga...Mudah-mudahan bertambah rahmat Allah pada ahli rumahnya....Amin.
Mengingatkan ini, Ummi tidak dapat membayangkan jika nanti saat bersama bonda sudah tiada lagi......pastinya Ummi yang akan paling terasa. Bayang dan kelibat bonda di rumah, terutama di bilik tidurnya...pasti bukan mudah ummi lupa..
Minggu lepas,
Seperti selalu, bila ummi bersalam dengan bonda sebelum ke tempat kerja, seperti biasa ummi pasti lafazkan," Mak pergi dulu..mohon maaf zahir batin ya mak.Mohon halalkan segalanya.". Bonda menjawab, " Ya..sama-sama. Emak pun mohon maaf juga dan halalkan makan minum". Walaupun itu merupakan ucapan lazim bagi masyarakat jawa ketika "wida' dgn sanak saudara tetapi semenjak akhir2 ini, dengan kesihatan bonda yang semakin uzur,Ummi mengucapkannya dengan perasaan amat mendalam di hati...Ummi terasa2 betapa saat bonda bersama kami sudah tidak lama......
Ah...betapa syukurnya Ummi..semenjak bonda tinggal bersama, ya lebih 6 tahun, bonda amat banyak membantu kami sekeluarga. Sekurang-kurangnya bonda mengawasi anak bongsu Ummi, Sofiah Kauthar. Bahkan bonda sudah seperti ibu kepada semua pembantu-pembantu ummi juga. Jika bonda berpergian ke rumah adik beradik yang lain, pasti bibik pembantu akan bertanya kerana rindu, " Bila emak akan balik ya Ummi".
Begitulah bonda yang dikasihi. Moga hidup bonda diberkati Allah adanya.
Catatan ini ummi akhiri dgn doa,
Doa buat bonda , moga bonda dilimpahi Allah keampunan dan keberkatan. Dipelihara sehingga saat menemuiNya...
Ummi Wardah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment