SELAMAT HARI IBU BUAT ISTERIKU!
“Mar, boleh tolong tengokkan tafsir Surah Al Isra’, ayat 7”. Ujarku kepada isteriku yang sedang berehat setelah selesai melayan tetamu yang baru bertolak ke Fraser Hill.
Pagi tadi kami sama-sama ke Pasar Tani membeli stok makanan untuk seminggu. Selepas siap memasak, dibantu oleh pembantu rumah dan anak-anak, kami menerima kehadiran tetamu istimewa.
Sepasang aktivis JIM, Hj Amran Sakir dan isterinya Hajjah Salmi. Mereka baru turun daripada Bukit Fraser dan terus ke rumah kami untuk mengambil Acik, anak kami yang ketiga bagi menyertai gathering Alumni MHI.
Perancangan asalnya, kami hantar Acik ke tol Bukit Beruntung. Namun seperti mereka dapat merasai kekangan masa kami, maka mereka dengan gigih dan sukarela memandu satu jam lagi untuk sampai ke rumah kami. Lagi pun, mereka belum pernah bertandang ke rumah kami.
Ana dah telefon Hj Amran, menjemput mereka makan tengahari di rumah. Kami masak sup tulang!
Isteriku turun ke tingkat bawah rumah kami untuk mengambil kitab tafsir. Aku masih meneliti beberapa website berkaitan Palestin, termasuklah website PACE, Palestininfo dan lain-lain bagi mencari bahan-bahan tambahan berkaitan Palestin.
Malam ini adalah malam yang bersejarah bagiku. Sdr Presiden telah meminta aku menggantikannya bagi menyampaikan pidato dan ucapan pada Perhimpunan Perdana Palestin di Stadium Melawati Shah Alam. Inilah kali pertama aku akan menyampaikan ucapan dan pidato berkaitan Palestin di hadapan khalayak yang begitu ramai.
Perasaan risau tetap ada. Ini bukan bidang kepakaranku. Aku dah minta pandangan sahabat JKP dan mereka memberi kepercayaan kepada aku untuk mewakili mereka dan JIM.
Beberapa panduan dan maklumat telah aku perolehi daripada pakar-pakar Palestin: Dr Hafidzi dan Hj Ridzuan Harun. Jzkk.
Tidak berapa lama kemudian isteriku masuk ke dalam bilik dan membuka kitab tafsir Fi Zilal. Biasanya dia akan meneliti naskhah Bahasa Arab.
Namun petang ini yang diteliti adalah versi terjemahan Bahasa Melayu. Barangkali bagi memudahkan suaminya turut membaca bersama-sama.
Dibacanya kuat-kuat perkara-perkara penting dari Surah Al Isra’ bermula dari ayat 1 hingga ayat 7 agar aku dapat mengikutinya sambil terus melayari internet.
Ternyata semua ayat-ayat tersebut amat relevan dengan perjuangan rakyat Palestin. Ayat-ayat ini menceritakan tentang peristiwa Isra’ Mi’raj dan diikuti dengan kisah tentang Bani Israel; kezaliman mereka serta padah yang mereka terima buat kali pertama dan kedua.
AsSyahid Syed Qutb menyebut, bukan setakat kali pertama dan kedua malah boleh jadi kali ketiga, keempat dan seterusnya.
Keinginan untuk meneliti ayat ketujuh surah Al Isra’ ini timbul setelah membaca perutusan terkini berkaitan Palestin oleh Mursyidul Am Ikhwan Muslimun, Dr Mohd Bade’ yang terjemahannya terdapat dalam website PACE.
Pada suatu bahagian beliau menyebut:
“Allah telah menyampaikan berita kepada kita dalam surat Al-Isra’ bahawa zionis akan berada dalam kesombongan sebanyak dua kali .. dan pada saat ini kita sedang menghadapi kesombongan yang kedua kalinya dan untuk kali yang terakhir ini Allah akan menghancurkan mereka dan memberi mereka dengan azab yang buruk; sebagai ganjaran di atas kesombongan mereka di hadapan Allah, dan penghinaan mereka terhadap tanah haram dan tempat-tempat suci.
Allah berfirman, yang bermaksud:”Dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kamu dan mereka masuk ke dalam mesjid, sebagaimana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa saja yang mereka kuasai”. (Al-Isra:7)”
Dalam Tafsir Zilal, Syed Qutb menyebut bahawa setiap kali kaum Yahudi berlaku sombong dan bertindak zalim, Allah swt akan membalasnya dengan balasan yang sewajarnya.
Kami bersepakat bahawa ayat-ayat awal surah Al Isra’ serta penegasan Dr Mohd Bade’ tentang optimisnya beliau akan kemenangan perjuangan di Palestin akan menjadi tema pidato pada malam ini.
Sekitar jam 5.00 petang Along dan Angah masuk ke bilik kami meminta izin untuk bergerak dahulu ke Stadium Melawati. Katanya Angah bertugas. Kami bersalaman dan mengucapkan, nanti kita jumpa di stadium.
Sekitar jam 6 petang. Aku telefon Presiden, Hj Zaid Kamaruddin untuk dapatkan noktoh-noktah dan panduan daripadanya. Noktah-noktah tersebut aku catit.
Persiapan menyiapkan nota siap hampir jam 7.00 malam. SMS diterima memaklumkan bahawa kami perlu berada di stadium jam 7.45 malam dan majlis akan bermula jam 8.00 malam. Walaubagaimanapun kami telah ambil keputusan untuk solat Maghrib dahulu sebelum bertolak. Anggaran jarak perjalanan sekitar setengah jam.
Alhamdulillah kami bersama anak bongsu kami, Sofiah Kauthar tiba sekitar jam 8.10 malam disambut oleh Along dan Angah serta urusetia. Aku ditempatkan di sebelah Presiden Haluan.Tidak berapa lama kemudian majlis bermula dengan ucapan Pengarah Perhimpunan, Ucapan Presiden Haluan dan diikuti oleh persembahan Mu’az.
Selepas Mu’az adalah giliran aku berpidato.
Muaz memang aku kenal lama. Sejak beliau menuntut di Sekolah Hira’ lagi. Keakraban bertambah kerana beliau kemudiannya mendirikan rumahtangga dengan junior aku beberapa tahun di sekolah menengah yang juga berasal dari Bukit Mertajam.
Ketika Muaz membuat persembahan, aku dijemput ke tepi pentas untuk standby. SMS diterima daripada Timbalan Presiden, Hj Syed Ibrahim yang turut hadir, memberi semangat dan sokongan moral.
Maka tibalah giliran aku. Namaku dipanggil. Sedikit debaran memang ada. Namun pengalaman pidato serta beberapa teknik mengawal keadaan dan suasana telah dapat dilakukan.
Walaubagaimanapun spotlight sangat cerah dan menganggu pandanganku kepada audien. Kukumpulkan semangat dan kulafazkan setiap patah perkataan sebaik mungkin.
Selesai ucapan, aku menerima beberapa SMS daripada beberapa orang aktivis JIM termasuk Hj Syed Ibrahim dan Hj Raji, menyampaikan tahniah dan syabas.
Namun aku sendiri dapat rasakan bahawa pidato dapat dimulakan dengan baik namun di bahagian pertengahan dan akhir kurang mantap atau boleh diperbaiki lagi.
Prof Sahrim bila diminta pandangan melalui SMS membalas: “Starting excellent, ending good, well done!”..begitu berdiplomasi Naib Presiden kita ini.
Dalam perjalanan pulang aku meminta pandangan isteriku. Beliau memberi markah 7/10, dan memberi beberapa cadangan penambahbaikan untuk masa hadapan. Ini adalah kebiasaan kami yang saling memberi komen dan cadangan penambahbaikan setiap kali selesai sesuatu ucapan atau penyampaian kami.
Sementara itu Timbalan Presiden, Hj Syed Ibrahim menghantar sms: “Kami bagi 7.5/10. Ana dan Mela”.
Sampai ke rumah, badan terasa amat penat. Kerehatan yang cukup diperlukan kerana esok ada agenda lain pula.
Esok paginya…
“Bang, apa doa yang Mar nak baca nanti..?”
Isteriku pula bertanyaku, meminta pandangan tentang isi doa yang akan dibacakannya pada petang nanti sempena majlis penutup Multaqa Akhawat 03.
“Apa kata Mar bagi tazkirah ringkas dulu..? ..... Selepas itu baru bacakan doa.”
Isteriku setuju dengan cadangan itu dan mula menaip teks tazkirah dan doa yang akan disampaikan.
Sementara itu Angah masuk ke bilik dan meminta izin untuk pergi kerana beliau hari ini bertugas di VPM Charity Bazaar di Bangsar pula.
Sekitar jam11.30pagi teks tazkirah dan doa siap ditaip dan dicetak.
Kami bersiap dan bertolak sekitar jam 12.00 tengahari. Hari ini aku menjadi driver. Rasa sangat bahagia..
Selepas majlis selesai, aku terserempak dengan beberapa mantan aktivis Karisma yang menjadi peserta multaqa dan bertanyakan tentang doa Ustazah Marhamah. Mereka mengatakan sangat syahdu, ramai yang menangis. Ustazah pun menangis. Aku sedikit terpegun. Kenapa sampai begitu sekali…?
Selepas selesai majlis kami singgah di cafeteria tempat program diadakan kerana memenuhi permintaan seorang ukht yang memohon untuk mendapatkan sedikit tips bagi beliau yang akan mendirikan rumahtangga tidak lama lagi. Aku membiarkan mereka berdua berbual lama sebelum masuk dan turut serta dalam perbincangan.
Memang khuatir untuk memberi tips ini kerana pengalaman kami tidaklah seberapa banyak dan juga dikhuatiri diuji Allah swt. Namun setakat ini ada juga beberapa orang akhawat/anak-anak yang datang berjumpa isteriku untuk mendapat panduan-panduan sebelum mendirikan rumah tangga.
Dalam perjalanan pulang, aku bertanya: “Kenapa menangis masa baca doa?”
Isteriku melihat kepadaku dia berkata: “Menangis ketika sampai ke doa yang berkaitan api neraka. Hati amat gerun kepada api neraka. Umur Mar pun tak tahu berapa panjang lagi..Mudah-mudahan Allah swt beri Mar kekuatan”.
Air mata ku turut berlinang.
Keazamanku juga turut meningkat.
Keazaman untuk memberi yang terbaik kepada isteriku. Menjaga sebaik mungkin isteri yang telah banyak berjasa kepadaku. “I must give more attention and concentration in taking care of her”….beri perhatian yang lebih untuk menjaganya…
Alhamdulillah, setakat ini isteriku masih menjalani hidup seperti manusia biasa. Aku doakan beliau akan terus sihat kerana kami amat memerlukan kehadirannya.
Aku doakan kami tidak diuji dengan ujian yang tidak dapat ditanggung oleh kami. Aku pohon ikhwah dan akhawat akan turut mendoakan kami.
Hari ini adalah Hari Ibu. Kami dan anak-anak telah menghabiskan hujung minggu dengan aktiviti yang amat menyenangkan hati kami.
Sempena Hari Ibu ini, kepada isteriku, aku ingin diucapkan:
“Mar, Selamat Hari Ibu. Terima kasih kerana melahirkan dan mendidik anak-anakku!!!”
Wassalam
Nahar Md Nor
9 Mei 2010
* Syukran Ya akhi fillah ..hakikatan anta umri, sahabati fi tareeq ilal hak...
al-Mukhlisah.Ummi Wardah
No comments:
Post a Comment