Friday, June 17, 2011

Sambutan Hari Ibu

KENYATAAN MEDIA

WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA

18 Jun 2011 bersamaan 16 Rejab 1432 H

Sempena Sambutan Hari Ibu 2011

APAKAH SENTUHAN IBU KIAN LUNTUR DAN KEHADIRAN BAPA SUDAH TIDAK DIRASAI?

Arus globalisasi dengan pengaruh ideologi kebendaan yang dipelopori barat telah menyaksikan penghakisan kepada peranan ibu bapa dan pengaruh institusi kekeluargaan dalam pembangunan masyarakat. Natijahnya gejala keruntuhan akhlak semakin berleluasa dan ini memberi kesan negatif kepada pembinaan generasi yang bakal memimpin dan membangun negara. Statistik berikut jelas menunjukkan bahawa institusi keluarga sudah tidak lagi berperanan dalam membangunkan nilai-nilai moral dan etika yang tinggi di dalam pembentukan ahli masyarakat.

  • Jabatan Pendaftaran Negara mencatatkan sebanyak 257,000 (2,500 kes sebulan atau 84 kes sehari) kes kelahiran tanpa bapa dalam tempoh 2000-2008
  • Polis diRaja Malaysia (PDRM) mencatatkan 857 kes buang bayi sepanjang 2001 -2010 dan 7,450 kes melibatkan jenayah remaja berusia antara 7 hingga 18 tahun sepanjang tahun 2010

Wanita Pertubuhan IKRAM, sebagai satu pertubuhan yang prihatin terhadap pembinaan masyarakat meyakini bahwa jalan keluar dari permasalahan ini adalah dengan kita memperkukuhkan institusi keluarga secara holistik berasaskan ajaran agama, budaya dan nilai murni .

Dengan ini kami menyeru supaya perhatian serius diberikan oleh semua pihak bagi menggerakkan usaha secara bersepadu dalam menggukuhkan institusi keluarga. Wanita IKRAM mengesa supaya:

  1. Pihak ibu bapa mempertingkatkan komitmen untuk memberi keutamaan kepada pembangunan keluarga bagi mengembalikan keharmonian rumahtangan dan mewujudkan suasana yang kondusif untuk mendidik, mengasuh dan membesarkan anak-anak generasi akan datang agar menjadi ahli masyarakat yang mempunyai pegangan agama yang kukuh, nilai moral dan etika yang tinggi serta akhlak yang mulia dan dapat menjalani kehidupan berdasarkan tuntutan syarak.
  2. Suami sebagai peneraju utama sesebuah keluarga perlu berperanan sebagai pembimbing, memberikan didikan agama kepada ahli keluarga agar mereka terselamat dari api neraka. Suami juga tidak boleh lari dari tanggunjawab menyediakan nafkah terhadap isteri dan keluarga bersesuaian dengan kelebihan yang dianugerah Allah kepada mereka seperti firman Allah swt di dalam surah An-nisa ayat 34 yang bermaksud :

” Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

  1. Isteri mentaati suami selagi mana ianya tidak melanggar hukuman Allah dan melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu bagi melahirkan keluarga bahagia dan mendidik anak-anak menjadi manusia berguna. Tanpa menafikan hak wanita memilih untuk berkerjaya di luar rumah, seorang isteri dan ibu itu perlu menyedari bahawa tanggungjawap utama sebagai pengurus kepada keluarga dan mendidik anak-anak tidak boleh diabaikan demi mencapai kemajuan kerjaya.

4. Persefahaman serta kesepakatan bagi mewujudkan sistem sokongan yang baik di antara suami dan isteri amat perlu diusahakan bagi isteri yang memilih untuk bekerjaya agar tanggunjawab utama isteri dan ibu tidak terabai. Pemilihan kerjaya yang sesuai, menetapkan matlamat yang betul akan tujuan keluar bekerja dan memelihara maruah diri dan kemuliaan suami adalah elemen penting yang perlu dijaga.

5. Pembelaan kepada ibu-ibu tunggal yang kurang bernasib baik serta anak-anak mereka perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak berwajib agar anak-anak mereka juga turut diberi peluang untuk membesar menjadi ahli masyarakat yang berguna di masa hadapan. Usaha-usaha perlu dibuat bagi menggeluarkan mereka dari kemelut kehidupan dan kemiskinan hidup. Ahli masyarakat sekeliling juga perlu berperanan mengambil tahu hal dan kebajikan ibu-ibu tunggal dan anak-anak mereka yang berada di dalam masyarakat setempat mereka.

6. Pihak majikan perlu peka terhadap tanggungjawab pekerja kepada keluarga mereka dengan mewujudkan sistem kerja yang anjal bagi membolehkan mereka memberi keutamaan kepada kebajikan keluarga dan bukan memberikan penekanan kepada produktiviti organisasi semata-mata. Pekerja yang mempunyai keluarga yang stabil dan terurus akan dapat menghasilkan produktiviti kerja yang jauh lebih tinggi berbanding dengan mereka yang mempunyai keluarga yang sentiasa bermasaalah.

7. Setiap pembentukan polisi dan dasar Kerajaan antara lain seperti dasar pendidikan, pembangunan wanita, tenaga kerja dan penetapan gaji minimum, pengambilan pekerja asing, kesihatan dan keselamatan, rancangan pembangunan fizikal negara perlu meletakkan pengukuhan dan kesejahteraan institusi keluarga sebagai salah satu dari objektif utama yang perlu dicapai. Indikator yang bersesuaian perlu dibangunkan bagi mengukur pencapaian dan kesan pembangunan dasar-dasar ini kepada institusi keluarga.

8. Unsur-unsur negatif yang boleh membawa kepada keruntuhan moral, kehancuran institusi keluarga perlu dikawal dengan tegas. Penyebaran dan paparan bahan-bahan pornografi, penganjuran program-program hiburan melampau yang boleh merosakan akal pemikiran dan moral samaada melalui media cetak atau pun elektronik perlu dibendung.

Datin Paduka Che Asmah Ibrahim

Timbalan Ketua Wanita

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

No comments:

Post a Comment