Ummi perturunkan satu pandangan mengenai isu penggunaan kalimah Allah oleh non-muslim...
Boleh difikirkan..tepuk dada tanya iman...!!
Ummi Wardah
Bdr Puteri
Assalamualaikum
Ana turunkan artikel dari Al_Bakistani sebagai pencerahan kita semua
WaAllahuallam
Abu Mujahid
Ipoh
ISU KALIMAH ALLAH " ALLAH FOR ALL"
Sesuatu hukum dalam Islam, memerlukan kepada dalil. Jika mahu dikatakan boleh, dimanakah dalilnya? Dan jika mahu dikatakan tidak boleh, dimanakah dalilnya?
Dalam manhaj istinbat, Imam Ghazali tidak sealiran kaedah dengan Imam Abi Walid Al-Baji. Manhaj Imam Ghazali, sebarang pengistinbatan terhadap kewujudan sesuatu hukum, memerlukan kepada dalil, tetapi dalam menyatakan sesuatu itu tiada hukum, maka ia tidak perlu kepada dalil. Manhaj ini berbeda dengan Imam Abi Walid Al-Baji yang menyatakan, mengistinbatkan hukum dan menyatakan tiada hukum, kedua-duanya perlu kepada dalil.
Walaubagaimana pun, dalam isu menyebut kalimah Allah bagi non Muslim, Apakah dibenarkan atau tidak, ia memerlukan kepada dalil dalam menyatakan keizinannya. Adapun jika kita adalah golongan yang mengatakan tidak boleh, dalam manhaj Imam Ghazali, tidak perlu didatangkan dalil, bahkan sudah memadai dikatakan tidak boleh jika tidak didapati langsung dalil-dalil yang membenarkannya.
KALIMAH ALLAH
Kalimah Allah adalah kalimah ”rahmat” sekelian Alam. Allah SWT adalah tuhan yang bukan sekadar disembah oleh Orang islam, sebaliknya wajib disembah juga oleh orang-orang selain beragama Islam. cumanya, tafsiran bagi kalimah Allah itu pelbagai dikalangan manusia.
Bagi mereka yang beragama Islam, Allah itu merujuk kepada tuhan yang esa. Adapun bagi mereka yang beragama kristian, ia merujuk kepada triniti. Begitu pula yahudi, merujuk kepada tuhan bapa kepada Uzair.
Justeru, dalam isu penggunaan kalimah Allah bagi non Muslim, apakah ia dibenarkan atau tidak? Apa yang dapat kita perhatikan, banyak nas-nas Al-Quran, dan hadis yang membenarkan penggunaan kalimah Allah, berbanding nas-nas Quran dan Hadis yang melarangnya.
Pertama : Surah Al-Ankabut : 61
وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ
Maksudnya;
“Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah", maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar)”
(Surah Al-Ankabut : 61)
Ayat ini, dengan jelas orang bukan Islam menjawab “Allah” dikala ditanya oleh Nabi SAW tentang siapa pencipta langit dan bumi. Selepas menyebut kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini, Allah tidak pernah menyuruh Nabi SAW menyerang atau menghalang mereka daripada menyebut kalimah “Allah” tersebut.
Kedua : Surah Al-Ankabut : 63
وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ
Maksudnya;
“Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah", Katakanlah: "Segala puji bagi Allah", tetapi kebanyakan mereka tidak memahami(nya)”
(Surah Al-Ankabut : 63)
Sama juga dengan ayat ini, ia mempunyai maksud yang sama dengan ayat di atas. Bahkan, di akhir ayat ini, Allah menyatakan kepada Muhammad agar mengucapkan syukur terhadap apa yang orang bukan Islam sebutkan – iaitu menyebut kalimah Allah. cumanya, Allah memerli mereka dengan alasan mereka tidak menggunakan akal dengan sihat disebalik pengakuan Allah sebagai tuhan yang menurunkan air daripada langit dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan daripada bumi.
Ketiga : Surah Al-Haj : 40
وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا
Maksudnya;
“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid- masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah”
(Surah Al-Haj : 40)
Dalam ayat ini, Allah SWT menyebut bahawa rumah-rumah ibadat yang menyebut kalimah Allah ini, bukan hanya digunakan di masjid-masjid sahaja, bahkan digunakan juga di rumah-rumah ibadat agama selain Islam, seperti gereja dan biara yahudi. Ia merupakan satu pengi’tirafan dari Allah, atas keizinan bagi non Muslim menggunakan kalimah Allah dalam peribadatan mereka.
Keempat : Dalam Sahih Muslim, Nabi SAW bersabda;
لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى لَا يُقَالَ فِي الْأَرْضِ اللَّهُ اللَّهُ
Maksudnya;
“Tidak akan berlaku kiamat, melainkan tidak ada lagi di bumi orang menyebut, Allah, Allah[1]”
Dalam bahasa arab, kalimah ‘assa’ah’ yang diterjemah sebagai ‘kiamat’. Ia juga boleh diterjemah sebagai ‘kebinasaan’. Hal ini merujuk kepada hadis bahawa Nabi SAW bersabda;
فَإِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ
Maksudnya;
“apabila amanah dikhianati, maka tunggulah kebinasaan”
Ditanya, ”bagaimana amanah dikhianati?”
”apabila diberikan sesuatu urusan itu kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kebinasaan” Jawab Nabi SAW ringkas tapi padat[2].
Daripada ini, kita fahami bahawa kebinasaan akan berlaku, jika tiada lagi manusia yang menyebut kalimah Allah atas muka bumi. Dalam hadis ini, tidak pernah wujud satu pengkhususan bahawa keizinan menyebut kalimah Allah ini hanya khusus kepada orang islam sahaja.
Justeru, dari segala dalil-dalil yang dikemukakan ini, difahami bahawa tidak ada larangan dari Islam bahawa orang bukan islam tidak dibenarkan menyebut kalimah Allah. Bahkan, yang wujudnya adalah, nas sendiri memberikan keizinan untuk disebut kalimah Allah bagi orang bukan Islam.
Bahkan, ini dikuatkan lagi sirah Nabawiyyah, yang mana di awal-awal dakwah Nabi SAW, kalimah Allah sudah digunakan oleh orang-orang quraish ketika itu. apabila kedatangan Islam, nabi SAW tidak pernah menghalang atau melarang orang-orang Quraish daripada menyebut kalimah Allah. Malahan, apa yang dilakukan oleh Nabi SAW adalah, baginda SAW memberi penerangan yang betul terhadap maksud kalimah Allah dari sudut yang betul.
Perlu diingat, Nabi SAW datang ketika itu, bukan menghalang dari mereka memggunakan kalimah Allah, tetapi Nabi SAW datang memberi penerangan yang betul terhadap maksud kalimah Allah itu sendiri. Inilah tugas nabi, yang wajib dicontohi oleh seluruh umat-umatnya.
ISYKAL DAN JAWAPAN
Pertama :
Mengizinkan non muslim menggunakan kalimah Allah dapat melahirkan keraguan umat Islam terhadap maksud kalimah Allah SWT.
Jawapan;
Penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, sepatutnya tidak difikirkan sebagai ruang non Muslim untuk meragukan umat Islam. bahkan, yang wajib difikirkan oleh umat Islam adalah, bagaimana kalimah Allah ini dijadikan sebagai kalimah yang sering disebut oleh non Muslim, kemudian diberikan kefahaman kepada mereka tentang maksud sebenar terhadap kalimah Allah yang mereka sebut itu. dan inilah, yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dalam dakwah di marhalah Makkiyyah dahulu.
Kedua:
Lebih baik menghalang dari mereka menggunakan kalimah Allah, kerana ia dibawah maksud ”sad Az-Zarai’”
Jawapan;
Kaedah ”sad Az-Zarai’” digunakan untuk menutup sebarang ruang-ruang yang boleh membawa kepada haram. Adapun dalam kes non Muslim menggunakan kalimah Allah, ia merupakan ruang untuk mendekatkan non Muslim terhadap kefahaman maksud ”Allah”.
Ketiga:
Ramai orang Islam pada hari ini yang lemah aqidah, justeru, dibimbangi mereka terpengaruh dengan agama non Muslim, apabila mereka dibenarkan menggunakan kalimah ”Allah”
Jawapan;
Apabila lemah aqidah, maka perkara yang perlu dilakukan adalah, perkuatkan aqidah mereka. berikan kefahaman kepada mereka tentang aqidah yang sahihah.
Tindakan melarang penggunaan kalimah ”Allah” dari kalangan Non Muslim dalam usaha hendak menyelamatkan aqidah orang Islam, merupakan dakwaan yang terlalu dangkal. Ini kerana, tindakan tersebut samalah seperti doktor yang memberi ubat pening kepala kepada pesakit yang sedang sakit perut.
Keempat:
Tindakan non Muslim yang kini baru sahaja mahu menuntut mahu menggunakan kalimah Allah terkandung agenda tersembunyi
Jawapan:
Apakah wujud agenda tersembunyi atau tidak, ia bukan isu yang wajar dibangkitkan. Apa yang pasti, Nabi SAW ada bersabda;
فَإِنَّ لِصَاحِبِ الْحَقِّ مَقَالًا
Maksudnya;
”Sesungguhnya orang yang ada hak, hendaklah diberikan ruang untuk dia bercakap[3]”
Justeru, dalam isu menggunakan kalimah ”Allah” bagi orang bukan islam, ia merupakan hak yang dibenarkan dalam agama mereka. justeru, hak ini hendaklah diberikan kepada mereka. jika mereka mahu menuntut hak itu, wajib diberikan ruang kepada mereka bersuara dalam menyatakan hak mereka.
Adapun sekiranya benar wujud agenda tersembunyi tersebut, maka ia perlu dihadapi dengan segala kebijaksanaan. Bukannya dengan melarang terus mereka daripada bersuara. Kerana, tindakan sebegitu akan memberi gambaran buruk terhadap Islam di mata-mata non Muslim.
KESIMPULAN
Secara asasnya, tindakan membenarkan kalimah Allah kepada Non Muslim bukanlah perkara yang dilarang dalam syarak, sama ada menerusi Al-Quran, atau Hadis nabi SAW.
Sebagai umat Islam, keizinan terhadap non Muslim dalam menggunakan kalimah Allah ini, sewajibnya diambil kesempatan dalam memberi penjelasan dan penerangan yang sebenar terhadap maksud kalimah “Allah” itu sendiri. Kerana, inilah yang sebenarnya dilakukan oleh Nabi SAW.
Tindakan melarang mereka dari menggunakan kalimah Allah, ia merupakan satu tindakan yang boleh melahirkan gambaran buruk terhadap Islam di mata-mata non Muslim, yang sudah pasti, ia tidak memberi keuntungan kepada Islam sedikit pun.
jika mahu difikirkan balik, mengapa tidak dijadikan kalimah “Allah” ini sebagai cara untuk melahirkan penyatuan manusia di seluruh dunia. Sekiranya Najib Tun Razak boleh menggunakan tema 1 Malaysia dalam usaha hendak menutup politik perkauman UMNO, mengapa tidak digunakan “esa Allah” dalam menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan berbilang bangsa?
“ALLAH FOR ALL”
Sekian
Wallahu ‘Alam
Al-Bakistani
ustaz_bakistani@ yahoo.com
No comments:
Post a Comment