Friday, January 1, 2010

Kalau orang berbudi, kenapa kita tidak berbahasa?

Ummi tertarik dengan catatan seorang sahabat pendidik ..

Memang betul , bila melihat anak didik yg berjaya.menjadi 'insan mulia'.ia memada menjadi satu hadiah yg amat bermakna dlm hidup seorang " GURU"'
Diperturunkan catatan beliau....moga ada manfaat yg boleh diinfaqkan buat penulisnya...

Assalamualaikum & salam sejahtera;
Untuk semua sahabat dan warga SIM. Semoga semuanya sentiasa di dalam keberkatan dan rahmat Allah yang Esa. Begitu pantas masa berlalu, kita telah berada di penghujung tahun 2009 dan sedang melangkah ke ambang 2010. Anak-anak yang telah bercuti panjang kini akan kembali ke sekolah, bertemu guru-guru lama dan baru serta berjumpa kawan-kawan sekolah yang mungkin dirindu.

Saya tidak mahu bercakap tentang azam baru kerana masih ada azam lama saya yang tidak tercapai. InsyaAllah, di samping menambah sedikit azam baru saya bertekad perlu mencapai azam lama. Saya ingin bercerita tentang 2009 yang banyak memberi kenangan manis kepada saya.Bukan tidak ada kenangan pahit...tetapi jika yang manis itu lebih banyak bertandang di dalam kehidupan kita, biarlah yang pahit itu tinggal sebagai kenangan dan pengajaran buat saya.

Kali ini saya ingin bercerita tentang pensyarah saya dan pelajar2 saya. Di kalangan pelajar2 saya, saya dikenali sebagai pensyarah yang garang dan kuat berleter. Tetapi leteran saya datang di dalam bentuk cerita.

i)pensyarah saya...


Sejujurnya, sikap ini saya warisi daripada pensyarah saya yang amat saya kasihi iaitu Dato' Profesor Dr Mahmud Zuhdi. Saya tidak menyebut beliau sebgai bekas pensyarah kerana bagi saya tidak ada istilah 'bekas' (ex lecturer/ex teacher) untuk seorang pensyarah atau guru. Mereka tetap guru-guru dan pensyarah-pensyarah kita sampai bila-bila. Selagi hayat dikandung badan..budi mereka dikenang jua.

Satu kenangan paling manis mengenai Profesor Mahmud Zuhdi yang saya panggil ustaz sejak di AIUM dulu ialah pada tahun 2005. Saya tidak pernah bertemu beliau sejak tahun 1995 tetapi hanya pada tahun 2005 apabila saya menghadiri satu persidangan yang dianjurkan oleh USIM. Saya hadir agak lewat dan tidak mempunyai banyak pilihan selain daripada mengambil tempat paling depan bersama sahabat baik saya Dr Ramizah. Ustaz baru memulakan pembentangan kertas kerja beliau pada waktu itu..dan semasa beliau mengupas tajuk kertas kerjanya, ustaz sempat berkata, "betul tak fauziah?"
Bayangkan bagaimana gembiranya perasaan saya waktu itu kerana seorang pensyarah yang sudah 10 tahun tidak bertemu dengan saya masih ingat nama pelajarnya. Masakana tidak gembira kerana ustaz mempunyai puluhan ribuan pelajar tetapi beliau masih ingat nama saya. Saya hanya melemparkan senyuman kepada ustaz dari tempat duduk saya.
Selepas sessi soal jawab, beliau diiringi oleh penganjur untuk beredar dari dewan persidangan. Saya tidak tahu bagaimana ingin merakamkan rasa kasih dan sayang kepada guru saya ini. Kebetulan, ada sekeping kad kecil di dalam beg saya dan saya cepat-cepat menulis satu nota ringkas di kad tersebut.

"Ustaz..saya mungkin tidak akan mampu menjadi seorang tokoh ilmuan seperti ustaz. Tetapi insyaAllah.. saya yakin saya mampu menjadi seorang guru sebaik ustaz." Kad itu saya hulurkan kepada ustaz ketika beliau melintas tempat duduk saya. Dan seingat saya, itulah hadiah pertama daripada saya kepada pensyarah yang amat banyak budi dan jasanya kepada saya. Saya katakan beliau seorang pensyarah yang baik kerana beliau bukan saja mengajar kami di dalam kelasnya, tetapi beliau banyak mendidik pelajar2nya dengan cerita beliau. Untuk ustaz dan isterinya Datin Faezah...kalian berdua adalah guru yang amat istimewa. Sebab itulah saya menamakan anak kedua saya Amir Zuhdi...mengambil keberkatan seorang guru yang memiliki hati dan pekerti yang mulia.
Prof. Mahmud Zuhdi boleh dikatakan antara tokoh ilmuan yang boleh dipanggil golongan muda yang berani menyuarakan pendapat-pendapat baru tetapi beliau tidak pernah merendah-rendahkan kebolehan ulama terdahulu.

ii)Pelajar-pelajar saya.

Mereka adalah anak-anak saya dan adik-adik saya. Di sini saya ingin menyebut beberapa nama pelajar di ruang yang terhad dan masa yang terbatas ini. Pertamanya, Ahmad Fadhil dari Trengganu yang kini berada di Islamabad sebagai atache bersama anak dan isterinya yang juga lulusan UIA, fakulti Ekonomi. Uniknya Ahmad Fadhil ini adalah kerana dia tidak pernah belajar di dalam kelas saya.tetapi dia selalu datang ke pejabat saya dan bertanya pendapat saya tentang itu dan ini. Ketika cuti, dia selalu menghantar sms dan bertanya khabar sambil bercerita tentang ibu dan ayahnya di kampung. Saya masih ingat ketika dia grad dari UIA 3 atau 4 tahun lepas, dia menghantar ucapan terima kasihnya kepada saya. Saya membalas smsnya dan menulis, "Fadhil, awak tidak terhutang apa-apa dengan saya. Saya tidak pernah mengajar awak." Tetapi Fadhil menajwab sms saya dengan menulis " Madam, siapa kata saya tidak terhutang budi dgn madam? Bukankah, madam selalu luangkan masa utk mendengar masalah saya?mendengar keluhan saya..mendengar cerita saya? Saya terhutang masa madam.Banyak masa madam luangkan utk saya. Bukankah itu juga budi? Kalau orang berbudi, kenapa kita tidak berbahasa?"

Sms itu mengajar saya satu perkara...budi bukan saja di dalam bentuk material tetapi masa dan kesanggupan orang lain mendengar masalah kita juga adalah budi. Terdetik di hati saya, bertuahnya ibu yang dan ayah yang berjaya mendidik anak setulus Ahmad Fadhil. Thn 2007 dia melangsungkan pernikahan di Trengganu dan saya bersama anak2 ke Kuala Trengganu utk meraikan hari gembiranya. Dia bertanyakan kepada saya, "madam nak menginap di hotel mana?" Dan saya memberitahu Fadhil..saya mahu menginap di rumah ibubapa Fadhil. Sehari saya dan anak-anak tinggal di rumahnya, bersama keluarganya. Rumah kampung yang dihiasi dengan keindahan budi bahasa dan ramah tamah keluarganya. Ketika dia dan isterinya Nor menghantar saya dan anak-anak menaiki bas, berulang kali dia mengucapkan terima kasih kerana sudi datang meraikan hari gembiranya. April 2009, saya mendapat sms daripada Fadhil... " Madam, saya telah menjadi seorang ayah. Nor telah selamat melahirkan baby perempuan.saya telah hantar gambar baby ke email madam."

Bulan Jun 2009 saya membawa anak-anak saya ke rumah mertua Fadhil di Shah Alam untuk melihat anak sulungnya. Terpancar kegembiraan di wajah dia dan isteri melihat saya dan anak2 datang melawat orang baru dalam hidup mereka. Dan hari itulah dia memberitahu saya dia akan berangkat ke Islamabad pada bulan Julai bersama isteri dan anaknya. Terdetik rasa sedih di hati saya..tapi saya gembira melihat kejayaan Fadhil dan kebahagiaannya. Ketika di Islamabad, Fadhil masih menghantar sms kepada saya..walaupun hanya sekali sekala. Tapi itu sudah cukup menyakinkan saya..dia tidak pernah melupakan saya yang dianggapnya sebagai seorang kakak. Semoga dia dan keluarganya sentiasa dilindugi dan dirahmati Allah ketika berada di perantauan. "Kalau orang berbudi..kenapa kita tidak berbahasa?" Itu ayat Fadhil yang terus tersimpan di hati dan fikiran saya. Sahabat-sahabat SIM boleh mengenali beliau di blog beliau..nafastari.

Keduanya..Nani Abdul Rahman yang kini bertugas di Khazanah. Nani adalah di antara pelajar pintar di Kulliyah Undang-undang, UIA. Bahasa Inggerisnya berhabuk..tetapi perkara yang menarik hati pensyarah-pensyarah bukanlah kepintaran dan kehebatannya berdebat dan berhujjah. Tetapi budi bahasanya dan sifat merendah dirinya. Setiap kali bertembung dengan pensyarah2 dia tidak pernah lupa mengucapkan salam. Walaupun pensyarah2nya tersalah nahu bahasa Inggeris ketika mengajar..dia tidak pernah tersenyum atau mentertawakan pensyarah2nya. Dia amat menghormati orang yang lebih tua dan menghormati kawan-kawan. Nani adalah contoh pelajar yang diibaratkan seperti padi...makin tunduk makin berisi. Berita terakhir yang saya dengar, Nani telah selamat menamatkan pengajian Sarjananya di Harvard Universiti.

Ketiganya,pelajar saya Pang Chuin Keat...yang berasal daripada Penang. Dia di antara pelajar berbangsa China yang amat ramah dan baik budi bahasanya. Saya mengajarnya pada bulan April-Julai2009. Tetapi sebelum menjadi pelajar saya setiap kali bertembung dengan saya di koridor universiti.. dia pasti akan tersenyum dan bertanya khabar. "Madam apa khbar?" Sesekali dia menghantar sms mengucapkan terima kasih kerana telah mengajarnya dan ada ketikanya dia mengirimkan sms..meminta restu utk kejayaannya. Bulan lepas..dia datang ke ofis saya ketika saya sedang bersiap ingin ke kelas pada pukul 9 pagi. Saya bertanya dia..."macamana dengan result exam you?" . Sambil meminta izin utk duduk,dia berkata.."ALHAMDULI LLah madam, saya dapat 3.0 yang melayakkannya lulus dengan Kepujian Kelas Dua. Saya mengucapkan tahniah kepada Pang..dan yang mengharukan saya dia sempat berkata. " Madam, saya yakin kejayaan saya adalah berkat restu guru-guru saya..." Dan saya melihat ada airmata yang bergenang di matanya. Saya hampir menitiskan airmata...dan saya beritahu dia..."Pang, awak adalah anak dan pelajar yang baik. teruskan sikap baik awak ini.jangan sombong bila dah kerja nanti. Always be honest and humble (jujur dan merendah diri) '". Dan dia menganggukkan kepala sambil mengucapkan terima kasih sebelum kami sama-sama beredar dari ofis saya.

Terdetik di hati saya...kalau seorang pelajar berbangsa China boleh memiliki budi bahasa sebaik Pang..kenapa ada anak-anak melayu yang tidak tahu menghormati guru dan pensyarah mereka? Kenapa ada pelajar2 melayu yang tidak pernah memberi salam bila bertemu dengan guru-guru mereka? kenapa ada pelajar2 melayu yang tidak pernah mengucapkan terima kasih kepada guru2 mereka. Sama-samalah kita mencari jawapannya.. ..

Bagi saya..saya tetap berpegang teguh kepada kata-kata, biar miskin harta asal jangan miskin budi bahasa bahasa. Biar tidak cantik rupa..tetapi cantik akhlak dan budinya..Di mana bumi di pijak..di situ langit dijunjung. ada dua perkara penting yang saya belajar..Orang yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi. orang yang tidak tahu menghormati tidak akan dihormati. Keduanya didiklah anak-anak kita dengan budi bahasa yang tinggi.kerana di situ terletak nilai seorang manusia.

Salam sayang saya untuk semua guru2 saya dan para pelajar saya..In the past, present and future. kepada semua warga dan sahabat2 SIM..selamat meneruskan perjuangan di tahun 2010.semoga esok yang datang akan jauh lebih baik daripada hari ini. Semalam adalah sejarah...esok adalah masa depan. Samapi bertemu lagi.

Wassalam
Dr Fauziah.

No comments:

Post a Comment