Setiap hari di dada akhbar kita membaca.......!!
Cerita malang seorang ibu....isteri yg telah berkorban sehingga menjadi berusia ..dan tua..oleh suami yang tidak menghormatinya. Tidakkah ia sedar...bahkan lupa bahawa suami dulu..saat mengambilnya dari ibu dan ayah yg membesarkan isterinya, ketika si isteri adalah anak yg telah ada segalanya:
' Dewasa, berakhlak mulia, bijak, cantik, berbudi bahasa, berharta, berketerampilan serba serbi ' ..Betapa malang bila telah menjadi isteri, ibu...apatah lagi bila sudah semakin berusia Ia disakiti, dilukai, dipukul dicederakan sekehendak hati........!"
" Wahai Allah Tuhan Yg menciptakan manusia lelaki & perempuan dgn amanah dan tanggung jawab yg sama, Dengan Ihsan dan RahmatMu berilah 'keadilanMu' pada para isteri, ibu,anak puteri yang dizalimi oleh insan bernama lelaki yg sudah hilang kemanusiaannya...."
" Sungguh Syariat Islamlah penyelamat para wanita, Maka Engkau jayakanlah Para pejuang yang menjunjung syariaatMu agar kemuliaan para isteri, ibu-ibu kan terus dipelihara dan diberi hak-haknya....!"
Berikut kesah luka seorang isteri, ibu yg dizalimi....
ARKIB : 09/05/2010
Bukan mudah minta cerai
SEBELUM bercerita lebih panjang, seorang pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bahagian pencen menjelaskan wanita yang bernikah dengan pesara kerajaan mendapat duit pencen hanya 12 setengah tahun dikira bermula dari tarikh lelaki itu mula bersara. Demikian juga halnya jika pasangan itu dikurniakan anak, maka anaknya hanya akan mendapat kemudahan lain untuk jangka masa yang sama.
Untuk minggu ini, Puan Ayu Shuhadah dalam e-mailnya melahirkan rasa sedih dengan nasib wanita. Katanya walaupun mereka tidak disukai oleh suami tetapi bukan mudah untuk meminta cerai.
''Saya ingin menceritakan masalah saya supaya mereka yang duduk di mahkamah syariah, peguam dan hakim faham tentang masalah kami, jangan asyik menyalahkan isteri sahaja jika mereka ingin minta bercerai.
''Saya tak nafikan ada wanita minta cerai kerana ada kekasih lain. Tetapi fikirkan juga masalah isteri yang benar-benar terseksa akibat perbuatan suami sebagai pembalasan kerana mahu bercerai.
''Saya katakan demikian berdasarkan pengalaman sendiri. Saya minta cerai kerana dah tak tahan dengan perangainya yang panas baran, suka balik malam, lebih banyak buang masa bersama kawan-kawan daripada anak-anak dan isteri di rumah. Alasannya jemu dengan perangai kami anak beranak dan mahukan ruang dan masa untuk dirinya sendiri, dia tak mahu hidupnya terkongkong.
''Bermula daripada anak-anak kami masih bayi hinggalah anak pertama kami masuk darjah satu, suami saya, Mike berasakan hidupnya tersekat. Dia tak mahu bantu saya mengajar anak, menghantar anak ke sekolah kalau van rosak apatah lagi menghantar anak ke rumah pengasuh. Katanya dia bosan.
''Katanya lagi dia berkahwin kerana mahukan kesenangan hidup, ada orang uruskan makan minum, pakaian dan sebagainya, bukan diberikan tanggungjawab menguruskan anak-anak, apa guna saya sebagai isteri...!!
''Puas saya memujuknya supaya bekerjasama membantu menjaga anak-anak, kerana kami sama-sama bekerja. Paling tidak seminggu dua dia buatlah, lepas itu dia mula rasa bosan, nak ambil pembantu rumah saya tak mampu.
''Saya terpaksa beli kereta kecil untuk menghantar dan mengambil anak ke rumah pengasuh, ke pasar dan sebagainya, nak harapkan Mike dia sentiasa balik lewat dengan pelbagai alasan.
''Selama lapan tahun berkahwin saya berasa terlalu susah, bukan semakin senang. Duit memang sentiasa jadi masalah, biasanya emak dan ayahlah tempat saya meminta bantuan. Hinggakan nak beli kereta pun saya minta bantuan ayah untuk duit muka.
''Kalau Mike mahukan sedikit ruang, sedikit masa untuk dirinya sendiri, saya pun mahukan yang sama. Malangnya pujuk rayu saya berakhir dengan pertengkaran. Banyak pinggan mangkuk pecah bila dia marah. Banyak kali juga saya kena tampar kerana mempersoalkan kenapa dia suka balik lewat dan suka keluar malam. Lepas ditampar pandai dia pujuk minta maaf mengaku tak buat lagi, tapi benda yang sama berulang juga. Semuanya kerana sikap panas barannya.
''Puncak kemarahan saya bila nampak dia tumpangkan wanita lain balik rumah. Katanya kawan pejabat. Boleh pula balik jam 6 petang, tapi nak ambil anak sekolah dia tak ada masa. Sebelum itu pun saya dah dengar cerita dia ada kawan perempuan. Bila saya tanya, dia mengamuk pukul saya. Pernah kepala saya berjahit kerana dibaling bingkai gambar.
''Siapa boleh tahan kalau selalu kena pukul. Badan kita bukan besi, tulang kita bukan dawai. Tambah sakit hati ibu bapa yang susah payah melahirkan kita pun tak pernah pukul, kenapa suami yang ambil kita setelah kita bekerja dan berduit boleh pukul kita sesuka hati.
''Apabila saya merasakan diri tak berguna lagi saya ke mahkamah syariah mohon perceraian. Tapi faham sajalah bab turun naik mahkamah memakan masa, sedangkan Mike tak pernah ke mahkamah kalaupun dipanggil.
''Akhirnya dengan pengetahuan mahkamah saya tinggalkan rumah balik ke rumah emak. Saya ambil mana-mana barang yang saya beli seperti mesin basuh, peti sejuk, perabot. Maka rumah kosonglah. Semakin marahlah Mike. Katanya harta sepencarian. Macam mana pula saya yang beli boleh jadi hak dia. Nasib belum beli rumah, kalau ada tentu kami dah berperang pasal harta sepencarian.
''Dia mengugut tidak akan ceraikan saya sampai mati, saya digantung tak bertali, biar saya tak boleh kahwin lagi. Saya minta cerai bukan kerana nak kahwin lagi, tetapi kerana tak tahan dengan perangainya.
''Kerana marah juga dia tak bagi nafkah anak-anak. Katanya saya tak layak sebab tak bercerai, saya katakan selama ini pun bukan dia yang tanggung anak, biarlah dia jawab di akhirat kelak.
''Sebagai ayah dia akan dituntut bukan sahaja di akhirat, malah di dunia lagi, hidupnya tak akan senang kerana dia tak menjalankan tanggungjawab seperti yang dituntut Allah. Dia tidak amanah kepada Allah. Tidak mengikut seperti apa yang dilafazkan ketika nikah dulu. Dia cuma baca lafaz nikah, baca apa yang dicatatkan oleh tok kadi tetapi tak tahu apa maksudnya, kerana itu dia tidak tahu tanggungjawabnya.
''Sebagai ibu sepatutnya kita menerangkan kepada anak-anak lelaki tentang tanggungjawab sebagai ayah dan suami. Bukan bercerita pasal senang kalau dah kahwin ada isteri jaga makan minum, siapkan pakaian. Sebenarnya tugas seorang suami itu amat besar mengikut Islam, bukan menghambakan isteri.''
Demikian cerita Ayu Shuhadah yang kini hampir tiga tahun meninggalkan suaminya dengan pengetahuan mahkamah syariah. Demikianlah nasib wanita disayang ketika diperlukan dan dipinggirkan kerana tidak mahu terikat dengan tanggungjawab sebagai seorang suami, apa lagi membantu isteri membesar dan menjaga anak-anak.
Moga semua ibu,isteri terus tabah dlm perjuangan hidup ini..Moga kita hanya diuji atas apa yg termampu oleh diri kita sebagai 'wanita'.
Sekali lagi selamat Hari Ibu.
Ummi Wardah,
Bdr Puteri.
No comments:
Post a Comment